Latest News

May 04, 2019

Ceramah Perdana Segari Persiap Jemaah Menyambut Ramadhan



Pada 4 Mei 2019, Malakoff Corporation Berhad (“Malakoff”) telah menganjurkan Ceramah Perdana Segari yang bertempat di Masjid Khairul Jariah, Kampung Segari, Perak. Ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Haslin Baharim, seorang pendakwah bebas, telah disaksikan oleh 500 hadirin yang datang dari Segari dan sekitarnya. 

Turut hadir ke majlis tersebut, Orang Besar Jajahan Manjung, YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato' Shaharudin bin Haji Nazari dan Pengurus Loji Janakuasa Lumut, En Mohd Salehuddin Abu Bakar. 



Bertajuk “Persediaan Menyambut Ramadhan”, Ustaz Haslin menyampaikan ceramah dengan bersahaja dan berseloroh. Sebagai panduan kepada hadirin, beliau telah menyatakan enam perkara penting yang perlu dilakukan seorang Muslim di sepanjang Ramadhan bagi memanfaatkan bulan ini. 



Enam perkara tersebut adalah 1) amalan bersahur untuk mendapat keberkatan, 2) berdoa berterusan semasa berpuasa, 3) bersederhana sewaktu berbuka puasa, 4) berusaha untuk solat tarawih di sepanjang bulan ini, 5) memperbanyakkan membaca Al-Quran dan 6) memperbanyakkan solat sunat, terutamanya solat tahajud di 10 malam terakhir. 



Ustaz Haslin juga berpesan supaya hadirin tidak meninggalkan solat lima waktu yang merupakan salah satu rukun Islam kerana berpuasa tanpa solat merupakan amalan yang sia-sia. 

“Di bulan ini, syaitan diikat oleh Allah supaya hamba-hambanya dapat menjalankan ibadah dengan lebih baik. Jadi, ambillah peluang ini untuk meningkatkan ibadah kita kerana Allah telah mempermudahkan kita untuk melakukan kebaikan di bulan ini.” 



Oleh itu, Ustaz Haslin menegaskan bahawa persediaan menghadapi Ramadhan amat penting, terutamanya dari segi ilmu, supaya ibadah dapat dilaksanakan dengah sempurna. Beliau juga menyarankan hadirin untuk memperuntukkan sejumlah wang untuk bersedekah kerana ianya amalan yang amat digalakkan di bulan ini. 



Alhamdulillah, selain menambahkan ilmu pengetahuan para hadirin, program ini berjaya mengeratkan lagi silaturrahim antara Malakoff dan penduduk setempat. 
Back to Latest News
Back to Top