top of page
bg_new_FA.jpg

Sharing important news and updates for you and the community

Buka Puasa KLHQ 2008

10 September 2008

Satu majlis berbuka puasa telah diadakan di Muzium Kesenian Islam, bersebelahan Masjid Negara pada 5 September 2008. Majlis berbuka puasa ini diadakan bagi meraikan para tetamu yang terdiri daripada pekerja dan pasangan mereka serta ahli rakan niaga Malakoff Corporation Berhad bagi mengeratkan lagi silaturahim di antara mereka di bulan yang mulia ini. Majlis ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Korporat, Malakoff Corporation Berhad yang beribupejabat di Plaza Sentral, Kuala Lumpur.



Majlis bermula dengan menyambut kedatangan tetamu-tetamu yang telah diundang sejak dua minggu yang lalu. Walaupun cuaca pada hari itu mendung dan hujan renyai, para tetamu tetap tidak mengecewakan penganjur dengan kesudian mereka untuk hadir ke majlis tersebut.


Pengerusi Malakoff Corporation Berhad, Tan Sri Halim Ali turut hadir dengan lengkap berbaju melayu dan bersampin.


Tepat jam 7.19 malam, azan berkumandang menandakan masuknya waktu Maghrib dan waktu berbuka puasa. Setelah menjamah kurma dan sedikit manisan, para tetamu bergegas untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah di ruang yang telah disediakan oleh pihak Muzium sebelum menjamu selera dengan Nasi Saffron dan segala lauk-pauk yang tersedia di atas meja masing-masing.



Setelah selesai makan malam, Tan Sri Halim Ali dengan sukacitanya menyampaikan derma bagi pihak Malakoff Corporation Berhad kepada 23 orang anak yatim dari Rumah Amal Belaian Kasih yang telah diundang khas ke majlis tersebut. Rumah Amal Belaian Kasih terletak di Ukay Perdana, Ampang.




Sejurus masuknya waktu Isyak, para tetamu dijemput menunaikan solat Isyak berjemaah diikuti dengan solat sunat Terawih sebanyak 8 rakaat. Selesai menunaikan solat, tetamu dihidangkan dengan jamuan ringan beserta moreh. Majlis bersurai pada pukul 10 malam.



Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan Malakoff Corporation Berhad di atas penganjuran majlis ini yang telah dijalankan setiap tahun sehingga kini. Semoga Allah menerima dan merahmati segala usaha dan ibadat kita pada bulan yang mulia ini, insya Allah.

bottom of page